02 December 2009

SEJARAH SMK MAHMUD MAHYIDIN

Sekolah ini mula ditubuhkan pada tahun 1965 dengan nama Sekolah Menengah Rendah Pasir Pekan. Pada ketika itu, ia tidak mempunyai bangunan tetap dan hanya menumpang di Sekolah Kebangsaan Pasir Pekan di sebelah petang.

Bilangan pelajar ketika itu seramai 169 orang, yang mana terbahagi kepada 5 kelas. Tenaga pengajar pula seramai 5 orang dan Guru Besar pertama ketika itu ialah Encik Mohd Daham bin Haji Abd Hamid. Beliau berasal dari Kubang Kerian.

Pada 9 September 1966, para pelajar telah berpindah ke bangunan kekal yang siap dibina pada pertengahan tahun 1966. Blok-blok bangunan terdiri dari 2 blok utama iaitu Blok A dan Blok B serta kantin dan sebuah bengkel seni perusahaan.

Bangunan baru ini telah dirasmikan oleh Menteri Pendidikan pada ketika itu iaitu Encik Mohd Khir bin Johari pada 2 Julai 1967. Dengan dipersetujui oleh keluarga Allahyarham Major Haji Mahmud Mahyidin D.P.M.K., M.B.E., sekolah ini telah diberi nama beliau sebagai tokoh yang telah banyak berjasa di bidang pelajaran, ketenteraan serta kebajikan rakyat di Kelantan khasnya. Sehingga kini, sekolah ini dikenali sebagai Sekolah Menengah Kebangsaan Mahmud Mahyidin.

No comments:

Post a Comment

  © Blogger template The Professional Template II by Ourblogtemplates.com 2009

Back to TOP